PERUTUSAN YPD - YAYASAN SOFA

perutusan ydp

AL FADHIL USTAZ MOHD HANIF BIN ABD HAMID

YANG DIPERTUA YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN 2021-2023

Terlebih dahulu marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi puji dan syukur ke hadrat Allah serta puji-pujian, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat Baginda kerana dengan limpah kurnia serta izin-Nya Profil Yayasan Sofa Negeri Sembilan ini dapat disempurnakan dengan jayanya sebagai salah satu medium penyampai maklumat kepada seluruh masyarakat dalam dan luar negara.

Yayasan sofa Negeri Sembilan (YSNS) telah ditubuhkan pada 17 Februari 2004 oleh pengasasnya YBhg. Dato’ Haji Muhammad Fuad Bin Kamaludin bertujuan untuk menjadi nadi kepada aspek-aspek pembangunan modal insan, pendidikan dan penyelidikan ilmu-ilmu Islam berasaskan kepada tiga sendi agama iaitu Iman, Islam dan Ihsan serta menyebarkan ilmu melalui dakwah kepada seluruh masyarakat di era moden ini melalui landasan dan pegangan Ahli sunnah Wal Jama’ah. Yayasan Sofa memikul tanggungjawab yang besar dalam melaksanakan misi dan visinya.

Memetik tulisan YBhg. Dato’ Haji Muhammad Fuad Bin Kamaludin “satu hal yang tidak dapat kita nafikan, disebalik pembangunan itu kita mengalami kemelesetan dan kemunduran akhlak dan spiritual umat. ” [petikan daripada buku ‘Adab dan Doa Penuntut Ilmu, Sofa Production (2011) ].

Yayasan Sofa amat komited dalam menjunjung dan mempertahankan fahaman Ahli Sunnah Wal Jama’ah dengan mengambil peranan sebagai pendidik masyarakat yang mengimbangi antara keperluan duniawi dan ukhrawi. Pendidikannya berasaskan penyampaian intelektual serta tarbiah Islamiah dan diterapkan melalui institusi-institusi di bawah naungannya agar mampu melahirkan insan rabbani.

Yayasan Sofa sentiasa berusaha dan komited untuk melahirkan generasi pewaris yang bukan hanya memiliki ilmu dunia yang tinggi, bahkan lengkap dengan pengisian akhirat yang mampan serta memiliki jati diri yang terbilang. Segala program serta gerak kerja Yayasan Sofa adalah bertujuan untuk memperkasakan syiar Islam dan ilmu melalui tiga teras utama iaitu dakwah, pendidikan dan kebajikan.

Namun begitu, masih jauh perjalanan yang hendak di tempuhi dan masih banyak yang hendak dicapai demi hasrat untuk melihat kegemilangan Islam berasaskan landasan Ahli Sunnah Wal Jama’ah. Bertunjangkan kepimpinan dan pertunjuk para Ulamak, Iltizam pihak pengurusan, ahli-ahli serta sokongan para pendukung, Yayasan Sofa yakin dan berharap agar segala impian di sebalik penubuhannya akan dapat dicapai dengan izinnya dan tawiq Allah.

Translate ยป