Mengenai Kami
PENGENALAN PENGASAS AS SOFA
Dato’ Haji Muhammad Fuad Bin Kamaludin
Pengerusi Kumpulan Pendidikan As Sofa
Pengerusi Koperasi As Sofa (KoSofa)
PERUTUSAN PENGASAS
Bersyukur kita ke hadrat Allah di atas nikmatNya menjadikan kita di dalam golongan hambaNya yang sentiasa menyerahkan jiwa dan raga demi agama tercinta, Penciptanya dan pembawanya iaitu Rasulullah
Sejak penubuhannya pada tahun 2004, Yayasan Sofa Negeri Sembilan (Yayasan Sofa) telah melangkah melangkaui masa dan cabaran di dalam memperjuangkan Islam melalui ilmu, pendidikan, pentarbiahan dan juga kebajikan ummah. Pelbagai ranjau dan onak telah diredahi demi menggapai impian dan misi demi untuk menegakkan syiar Islam. Segala puji bagi Allah jualah Yayasan Sofa kini terus kukuh mengembangkan iltizamnya ke persada dunia.
Dari pahatan di sebuah surau yang terpencil serta kecil 20 tahun dahulu, nama Yayasan Sofa pada hari ini telah dibawa ke serata dunia. Bukan hanya pada nama, tetapi kepercayaan terhadap Yayasan Sofa telah melangkau rentas sempadan tanahair sehingga ke Indonesia, Brunei Darussalam, Arab Saudi, Mesir, Sudan, Afrika Utara dan London, United Kingdom.
Dipersada kejayaan ini adalah kerjasama yang dijalankan bersama Yayasan Sofa dan sebuah Institusi pendidikan Islam yang ulung di dunia iaitu Qal’ah Ilmu Qarawiyyin di Maghribi.
Dengan bertunjangkan kepada prinsip Yang Maha Esa, keberkatan segala tenaga dan pengorbanan yang telah dicurahkan serta doa kepada para kekasihNya, Yayasan Sofa telah dikurniakan kekuatan dan kejayaan di dalam membangunkan institusi-institusi pendidikan dan penyelidikan di Malaysia, Indonesia, Mesir dan Maghribi.
Perjalanan Yayasan ini cukup panjang. Apa yang pasti, segala kejayaan yang ditempuh sudah tentu tidak akan dapat dicapai tanpa kerja keras dan semangat yang padu daripada semua pihak. Setiap Ikhwan di dalam yayasan ini, tanpa mengenal penat lelah, terus berusaha untuk mengangkat syiar Islam dan ini terbukti dengan pelbagai program pembangunan pendidikan dan ekonomi ummah serta forum-forum ilmu yang telah terlaksana.
Di pentas dunia, bagi meneruskan jalinan rangkaian ilmu yang lebih luas serta kukuh. Yayasan Sofa acap kali mengadakan pertemuan bersama para ulama nusantara dan antarabangsa bagi membincangkan masa depan dan halatuju Islam yang sekaligus memperkasa dakwah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Yayasan ini turut aktif menerbitkan buku-buku agama serta menganjurkan kuliyah ilmu dan sering menjadi rujukan di dalam pelbagai seminar Islam dan forum ilmu.
Di dalam wadah pendidikan, institusi-institusi yang diasaskan oleh Yayasan Sofa juga turut sering mendapat kunjungan para ulama tersohor dari segenap pelusuk dunia. Ini membuktikan bahawa Yayasan ini benar-benar mendapat dokongan dan pengiktirafan daripada para pemikir dan cendiakawan dunia.
PERUTUSAN YANG DIPERTUA
Terlebih dahulu marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi puji dan syukur ke hadrat Allah S.W.T serta puji-pujian, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. dan para sahabat Baginda S.A.W. kerana dengan limpah kurnia serta izin-Nya prospektus Yayasan Sofa Negeri Sembilan ini dapat disempurnakan dengan jayanya sebagai salah satu medium penyampai maklumat kepada seluruh masyarakat dalam dan luar negara.
Yayasan Sofa Negeri Sembilan (YSNS) telah ditubuhkan pada 17 Februari 2004 oleh pengasasnya YBhg. Dato’ Hj Muhammad Fuad Bin Kamaludin bertujuan untuk menjadi nadi kepada aspek-aspek pembangunan modal insan, pendidikan dan penyelidikan ilmu-ilmu Islam berasaskan kepada tiga sendi agama iaitu Iman, Islam dan Ihsan serta menyebarkan ilmu melalui daqwah kepada seluruh masyarakat di era moden ini melalui landasan dan pegangan Ahli Sunnah wal Jama’ah. Yayasan Sofa memikul tanggungjawab yang besar dalam melaksanakan misi dan visinya.
Memetik tulisan YBhg. Dato’ Hj. Muhammad Fuad Bin Kamaludin: “…satu hal yang tidak dapat kita nafikan, di sebalik pembangunan itu kita mengalami kemelesetan dan kemunduran akhlak dan spiritual umat…”. [petikan daripada buku ‘Adab dan Doa Penuntut Ilmu’, Sofa Production (2011)].
Yayasan Sofa amat komited dalam menjunjung dan mempertahankan fahaman Ahli Sunnah wal Jama’ah dengan mengambil peranan sebagai pendidik masyarakat yang mengimbangi antara keperluan duniawi dan ukhrawi. Pendidikannya berasaskan penyampaian intelektual serta tarbiah Islamiah dan diterapkan melalui institusi-institusi di bawah naungannya agar mampu melahirkan insan rabbani.
Yayasan Sofa sentiasa berusaha dan komited untuk melahirkan generasi pewaris yang bukan hanya memiliki ilmu dunia yang tinggi, bahkan lengkap dengan pengisian akhirat yang mampan serta memiliki jati diri yang terbilang.
Segala program serta gerak kerja Yayasan Sofa adalah bertujuan untuk memperkasa syiar Islam dan ilmu melalui tiga teras utama iaitu dakwah, pendidikan dan kebajikan.
Namun begitu, masih jauh perjalanan yang hendak di tempuh dan masih banyak yang hendak dicapai demi hasrat untuk melihat kegemilangan Islam berasaskan landasan Ahli Sunnah wal Jama`ah. Bertunjangkan kepimpinan dan pertunjuk para Ulamak, iltizam pihak pengurusan, ahli-ahli serta sokongan para pendokong, Yayasan Sofa yakin dan berharap agar segala impian di sebalik penubuhannya akan dapat dicapai dengan izin dan tawfiq Allah subhanahu wa ta’ala.
Mohd Sufi Bin Ibrahim Al Hafiz
Yang DiPertua Yayasan Sofa
MISI
Menyalurkan bantuan dana dan tajaan pendidikan kepada para penuntut ilmu, anak yatim dan mereka yang memerlukan.
Membangun dan menyediakan prasarana di institusi pendidikan ASWJ di dalam dan luar Negara.
VISI
Organisasi yang menjadi tulang belakang kepada penyebaran ajaran ASWJ dalam aspek penyaluran dana dan pembangunan.
PENGENALAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN (YSNS)
Yayasan Sofa Negeri Sembilan adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang telah berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia di bawah Akta Pertubuhan 1966, bertujuan untuk mencari dana bagi membawa, mempertahankan serta menyebarluaskan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) melalui penulisan, pendidikan dan dakwah.
RASIONAL LOGO
A – LAMBANG BENTUK CAPAL NABI MUHAMMAD SAW
Melambangkan Yayasan Sofa Negeri Sembilan sebagai sebuah yayasan yang diasaskan demi merialisasikan perintah dan perjuangan Nabi Muhammad SAW serta menjadi khadam dalam membentuk makrifah dan memupuk mahabbah.
B – LAMBANG KUBAH MASJID NABAWI
Menjadikan Yayasan Sofa Negeri Sembilan sebagai sebuah yayasan yang terkumpul di dalamnya perpaduan, ilmu serta memberi banyak manfaat kepada ummah agar kehidupan dunia dan akhirat terjamin.
C – LAMBANG JALAN BERBENTUK “S”
Jalan yang berbentuk “S” adalah singkatan kepada perkataan “Sofa” yang bermaksud suci bersih. Melambangkan sebuah perjalanan yang sentiasa memartabatkan sunnah Rasullullah SAW dan mempertahankan kemuliaan Rasullullah SAW dengan menjaga dan menyangga institusi-institusi Ahli Sunnah Wal Jamaah.
D – WARNA
Warna-warna yang utama dalam islam dan warna-warna yang digemari oleh Nabi Muhammad SAW. Putih: Menjadi simbolik kepada kesucian dan kemurnian. Biru: Membayangkan keluasan lautan makrifat ilmu.
SALURAN SUMBANGAN
PEMBANGUNAN
Kompleks Yayasan Sofa di Rembau merupakan kompleks yang mengandungi pelbagai kemudahan pendidikan seperti bangunan madrasah, asrama, sekolah, rumah tamu, pejabat, kantin, dan zon riadah untuk keselesaan pelajar dalam menuntut ilmu. Kompleks ini berkeluasan 8-ekar dan boleh menampung seramai 700 orang pelajar.
PENYELIDIKAN
Bayt Al Hikmah merupakan sebuah pusat penyelidikan khazanah Islam yang berperanan mengumpul, menyelenggara dan mengemaskini koleksi bahan-bahan rujukan bacaan dan audio visual yang berkaitan dengan Islam dan ilmu lain mengikut keperluan semasa.
Ia juga mencetak semula dan menterjemah manuskrip lama yang berbahasa Arab dan Melayu, serta menerbit buku-buku dan artikel-artikel bagi menjelaskan isu-isu penting yang menjadi persoalan di kalangan umat. Terdapat tiga lokasi Bayt al Hikmah iaitu di Rembau, Malaysia; Kaherah, Mesir dan Rabat, Maghribi.
DAKWAH
Kolej Islam As Sofa (KIS) telah menandatangani Memorandum Persetujuan dengan Universiti Mohammed V pada 10 Disember 2012 dan Universiti al Qarawiyyin (universiti tertua di dunia) pada 16 Julai 2014. Kedua-dua buah universiti ini telah bersetuju menghadiahkan kepada KIS Kursi Pengajian Islam Kolej Islam As Sofa yang merupakan sebuah institut penyelidikan KIS di universiti-universiti tersebut. Di antara peranan Kursi tersebut ialah:
• Mengadakan nadwah dan syarahan di bawah institut berkaitan penyelidikan dan ilmiah.
• Menerbit dan berkongsi buku-buku dan bahan rujukan dalam usaha mengukuhkan ilmu dan pengetahuan Islam.
• Perkongsian tenaga pengajar dalam pertukaran ilmu di kedua belah pihak.
LATIHAN
Program Ziarah Ilmiah ke Universiti Al Zaytuna Tunisia untuk para pelajar peringkat menengah merasai pengalaman suasana pembelajaran peringkat tertinggi serta mengenali budaya masyarakat tempatan. Program ini juga akan diadakan di Maghribi dan United Kingdom untuk tahun 2019.
PENAJAAN
Menaja para pelajar As Sofa yang kurang berkemampuan dan cemerlang di dalam pembelajaran untuk mengikuti latihan akademik, turath serta Al Quran di dalam dan luar negara.
PENGURUSAN
Yayasan Sofa ditadbir urus oleh para pegawai dari kalangan profesional dan dedikasi di dalam bidang korporat dan agama bagi merialisasikan segala misi dan visi tercapai.