Jalinan kerjasama korporat luar menjadi tunjang utama kepada penyebaran dakwah Yayasan Sofa di mana menerusi ikatan ini perkongsian idea dapat dilakukan bagi tujuan pemerkasaan pendidikan tahfiz negara.
Sehubungan itu, Yayasan Sofa yang diwakili Ketua Pegawai Operasi, Tuan Haji Amran Ismail bersama Ketua Jabatan Korporat, Minarni Mat Saad dan Pengurus Dana Korporat, Mohd Fikri Alimi Muhamad Noor mengadakan kunjungan ke Ibu Pejabat Tabung Haji pada 1 Ogos lalu.
Kunjungan ini bertujuan menyambung kerjasama sebelum ini yang terhenti akibat pandemik Covid-19 di mana perbincangan kali ini menjurus kepada peranan Yayasan Sofa yang bukan sekadar membangunkan institusi dan pendidikan tahfiz tetapi menyediakan landasan penyampaian dakwah kepada umat Islam.
Pertemuan bersama Pengurus Besar Operasi Domestik, Tuan Haji Mohd Norber Kassim dan Pengurus Kanan Pembangunan Sahsiah, Tuan Haji Shahrul Azam Haji Noor Zeli mengetengahkan isu berkenaan projek terkini Yayasan Sofa dalam menjalankan misi tanggungjawab sosial sebagai badan bukan kerajaan.
Antara pengisian penting termasuk, program ilmu dan Islamik seperti tazkirah, bacaan yasin dan tahlil, Smart Solat dan banyak lagi yang ingin diadakan bersama-sama warga kerja Tabung Haji dan masyarakat.