Sambutan Hari Raya Aidiladha di As Sofa menjadi acara tahunan yang mendapat sambutan ramai khususnya umat Islam. Seperti tahun-tahun sebelum ini, Yayasan Sofa turut mengadakan program Qurban Plus As Sofa di mana untuk kali ke-26 ini diadakan di Tahfiz As Sofa Hulu Langat.
Acara yang diadakan pada hari raya Aidiladha kedua tersebut bermula seawal jam 8 pagi turut dihadiri Pengasas Yayasan Sofa, Dato’ Haji Muhammad Fuad Kamaludin; Yang Dipertua Yayasan Sofa, Ustaz Farid Md Samad al-Hafiz dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sofa, Ustaz Mohamad Arif Irmon.
Aktiviti gotong-royong melapah lembu dan kambing yang dikorbankan pada hari itu turut dihadiri ahli pengajian As Sofa, warga kerja As Sofa, pelajar, alumni As Sofa dan penduduk setempat.
Acara Korban Melalui Qurban Plus As Sofa Di Adakan Bersama Masyarakat
Alhamdulillah, program Qurban Plus As Sofa turut diadakan di beberapa kawasan sekitar Negeri Sembilan. Di mana setiap kawasan dilantik jawatankuasa pelaksana untuk menjalankan ibadah korban bagi peserta yang berdaftar melalui Yayasan Sofa.
Antara kawasan yang mengambil bahagian tahun ini termasuk, Masjid Jamek Rahang, Surau Al Falah, Nilai, Masjid Bandar Springhill Port Dickson, Masjid Kariah Nerasau, Masjid Pekan Juasseh, Masjid Kariah Penajeh, Surau Rumah Rakyat Pengkalan Durian Linggi, Pusat Dakwah Islam Paroi, Balai Bomba Seremban 2, Pejabat Agama Rembau dan lain-lain.
Terima kasih kepada semua peserta dan jawatankuasa pelaksana yang menyertai program saban tahun Yayasan Sofa ini. Semoga setiap pengorbanan kita dan usaha kita dalam menyelesaikan tugas sebagai khalifah di muka bumi ini mendapat berkat daripada Allah SWT.