Sambutan awal Zulhijjah di KPDN Negeri Sembilan
SEREMBAN: Kehadiran bulan Zulhijjah ini membawa 1001 pengertian dalam mempertingkatkan iman dan taqwa kita sebagai umat Islam yang dikasihi Rasulullah SAW. Bagi meraikan bulan ini, Yayasan Sofa Negeri Sembilan dijemput untuk bersama-sama meraikan kedatangan bulan Zulhijjah dalam majlis yang diadakan di ibu pejabat Kementerian Perdagagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Negeri Sembilan (KPDNNS).
Pada majlis itu Yang Dipertua Yayasan Sofa Ustaz Mohd Hanif Abd Hamid membuka bicara dengan ceramah bertajuk Amalan Bulan Zulhijjah Menurut Islam di mana dalam bulan ini terdapatnya amalan-amalan yang membawa keberkatan dan rahmat Allah SWT.
Dalam ceramahnya, Ustaz Hanif berkata, tiga amalan terbaik yang boleh dilakukan dalam bulan Zulhijjah adalah puasa sunat, takbir, tahlil dan tahmid serta melakukan ibadah korban. Amalan-amalan ini lebih bermakna apabila diselitkan dengan amal jariah terutama buat golongan yang memerlukan seperti fakir miskin, anak yatim dan ahli al-Quran.
Selain itu, KPDN Negeri Sembilan turut memberi sumbangan kepada Yayasan Sofa untuk disalurkan kepada pembangunan Kompleks Islam As Sofa Mantau di sini.
Sumbangan itu diserahkan oleh Pengarah KPDNNS, Tuan Muhammad Zahir Mazlan kepada Ustaz Mohd Hanif Abd Hamid. Turut hadir dalam majlis itu ialah, Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, Tuan Abd Muis Samsudin bersama ketua-ketua bahagian dan kakitangan KPDNNS.
Yayasan Sofa juga diberikan ruang untuk membuka kaunter penyertaan bagi program yang ditawarkan termasuk Hajat, Infaq dan Tahlil, wakaf al-Quran, direct debit Mantau dan lain-lain.
Semoga dengan adanya program seperti ini, ia dapat dijadikan pentas ilmu buat masyarakat Islam untuk mengetahui dan mengenali produk yang dibawa Yayasan Sofa selama 25 tahun ini. Insya-Allah, semoga sama-sama kita dapat memperhebatkan lagi pendidikan tahfiz di negara ini.
Terima kasih kepada KPDNNS di atas pelawaan julung kali ini.