Ilmu merupakan payung dalam meniti kehidupan harian di mana tanpa ilmu barangkali kita akan bertemu jalan buntu dan kesesatan. Ilmu bukan sekadar apa yang telah kita pelajari di sekolah mahu pun universiti tetapi ilmu adalah pelajaran yang sentiasa kita cari sehingga nafas terhenti.
Sehubungan itu, Yayasan Sofa membuka ruang dan peluang kepada masyarakat untuk bersama-sama menyertai program agama terutamanya dengan mengadakan tazkirah atau kuliyah secara semuka di pejabat masing-masing.
Selepas kerajaan Malaysia mengisytiharkan endemik, Yayasan Sofa mula menerima jemputan untuk menghadiri majlis ilmu antaranya di Jabatan Audit Negara, Seremban; Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ); Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Syed Sirajuddin Gemas, Negeri Sembilan dan FS Mega World Sdn Bhd (Chocodap’s) yang diadakan baru-baru ini.
Majlis ilmu itu dihadiri kakitangan syarikat dan jabatan masing-masing di mana program ini dapat dijadikan platform untuk menyemai ilmu bagi mengisi jiwa dan rohani dalam menempuh kehidupan yang penuh cabaran hari ini.
Menariknya majlis ilmu berkenaan disampaikan sendiri oleh Yang Dipertua Yayasan Sofa Negeri Sembilan, Ustaz Mohd Hanif Abdul Hamid dan Ustaz Nazrul Hafizi Abu Bakar.
Diharap lebih ramai badan korporat, jabatan dan agensi kerajaan serta syarikat swasta hadir menjalinkan kerjasama dengan Yayasan Sofa bagi memperkasakan ilmu Islam kepada kakitangan dan seterusnya disampaikan kepada masyarakat awam.
Majlis ilmu bersama Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Syed Sirajuddin Gemas, Negeri Sembilan