Yayasan Sofa Negeri Sembilan menerusi Jabatan Komunikasi Korporat telah mengadakan pertemuan dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bersama Yayasan Pelajaran Mara (YPM) di ibu pejabat Yayasan Sofa di sini, baru-baru ini.
Pihak MARA yang diwakili Timbalan Pengarah MARA Negeri (Pembangunan), Puan Bedah Mamat menjemput Yayasan Sofa untuk berkolaborasi bagi pembangunan pendidikan negara sebagai rakan pendidikan YPM.
Dua program yang disertai Yayasan Sofa menerusi kolaborasi ini adalah, Program Pintar @ KPLB-Yayasan Sofa di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gemenceh dan Program Celik Quran di tiga lokasi sekitar Negeri Sembilan.
Inisiatif kedua-dua program ini adalah untuk mendekatkan golongan pelajar sekolah rendah dan menengah yang berada di luar bandar mencintai dua cabang ilmu iaitu akademik dan al Quran.
YPM dan Yayasan Sofa menjadikan platform ini sebagai usaha dakwah kepada pelajar B40 dan asnaf melalui bimbingan daripada tenaga pengajar profesional dan fasilitator dengan misi supaya mereka dapat melihat perspektif kehidupan daripada sudut berbeza, sekali gus menyuntik semangat untuk memperbaiki kehidupan keluarga pada masa depan.