TIDAK lengkap rasanya sambutan Maulidurrasul tanpa pengisian bagi mengenali Junjungan Agung, Rasulullah SAW sekali gus menyemarakkan lagi rasa kasih dan cinta terhadap Baginda.
Telah berlangsung dengan jayanya Majlis sambutan Maulidurrasul dan memperingati Ulama’ tersohor Negeri Sembilan, Syeikh Muhammad Said al Linggi RA di Dewan Sekolah Tinggi Islam As Sofa, Rembau.
Majlis yang dihadiri kira-kira 800 peserta itu diadakan dengan penuh pengisian bermula dengan Solat Maghrib berjemaah, bacaan qasidah dan Maulid sebelum diteruskan dengan tausiah khas yang disampaikan oleh Pengasas dan Syeikh As Sofa, Dato’ Syeikh Haji Muhammad Fuad bin Kamaluddin.
Sempena Malam 12 Rabiul Awwal 1445 Hijrah yang bertepatan dengan 100 tahun tarikh kewafatan Syeikh Muhammad Said al Linggi RA itu juga, Dato’ Syeikh Haji Muhammad Fuad bin Kamaludin turut merasmikan sebuah karya ulung Syeikh Muhammad Said al Linggi RA iaitu kitab berjudul al Mawahib al Sarmadiyyah fi al Marwiyyat al Sa’idiyyah dan yaliha Khazain al Sa’adah al Abadiyyah fi al Araba’in al Sa’idiyyah.
Perasmian didahului dengan tayangan montaj diikuti gimik pelancaran.
Al Mawahib al Sarmadiyyah fi al Marwiyyat al Sa’idiyyah merupakan kitab thabat Syeikh Muhammad Said al Linggi RA yang diterbitkan buat julung kalinya memaparkan keilmuan dan keahlian beliau dari sudut Ilmu Riwayah.
Ia merangkumi sanad 12 kitab bagi 12 bidang Ilmu Pengetahuan Islam daripada 12 orang masyayikh beliau yang sampai sanadnya kepada Sayyidi Ahmad ibn Idris RA seterusnya kepada Pengarang-Pengarang Kitab.
Semoga program yang diadakan ini dapat menyemarakkan cinta dan kasih kita terhadap Rasulullah SAW menerusi jalur ilmu yang diwariskan kepada para ulama’ seterusnya sampai kepada kita pada hari ini.