1,000 JEMAAH IMARAH SOLAT HAJAT DAN TAHLIL PERDANA AS SOFA - YAYASAN SOFA

REMBAU, 25 Ogos : Majlis Tahlil Perdana & Solat Hajat As Sofa yang diadakan di Surau Hasaniah, disambut meriah oleh warga As Sofa, masyarakat Islam dan pelajar-pelajar Sekolah Tinggi As Sofa, Rembau di sini, semalam.

Kira-kira 1,000 jemaah hadir menghidupkan suasana majlis yang dimulakan dengan solat berjemaah, alunan bacaan al Quran, bacaan Surah al Kahfi, Yasin dan tahlil, solat hajat dan diakhiri dengan tazkirah ringkas.

Pada majlis tersebut, turut diadakan adalah pelancaran Infaq Pembinaan dan Pembesaran Surau Hasaniah yang akan dimulakan pada September depan.

Pelancaran ini disempurnakan oleh Timbalan Yang Dipertua Yayasan Sofa, Prof Madya Dr Faizal Mohideen Batcha.

Dalam ucapannya, Prof Madya Dr Faizal berkata Surau Hasaniah adalah bangunan paling awal dibina yang menjadi mercu tanda pembangunan institusi tahfiz di bawah As Sofa.

“Keadaan surau yang tidak lagi mampu menampung jumlah jemaah yang semakin banyak menyebabkan kita perlu membesarkannya untuk keselesaan jemaah.

“Surau ini juga menjadi nadi Sekolah Tinggi Islam As sofa kerana di sini bagaikan rumah kedua untuk mereka mendalami ilmu al Quran dan Turath,” katanya.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pertarbiahan Institut Imam Ahmad Ibn Idris, Ustaz Md Farid Samad al Hafiz; Tenaga Pengajar Institut Imam Ahmad Ibn Idris, Tuan Guru Haji Salahuddin Azarai dan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Islam As Sofa, Ustaz Mohd Sufi Ibrahim al Hafiz.

Pembesaran Surau Hasaniah dibuat berikutan bilangan jemaah dan pelajar yang semakin meningkat sehingga sebahagian jemaah terpaksa solat di luar atau perkarangan surau.

Semoga Allah SWT mempermudahkan urusan bagi pembesaran surau ini.

Translate »