PENGENALAN

Yayasan Sofa Negeri Sembilan (Yayasan Sofa) merupakan sebuah organisasi bukan kerajaan yang tidak berasaskan keuntungan. Ia ditubuhkan dengan tujuan menyebarkan ilmu kepada masyarakat di era modenisasi melalui dakwah, pendidikan dan kebajikan.

Sejajar dengan objektif utamanya dalam menyebarkan dakwah, Yayasan Sofa bergiat aktif dalam menganjurkan seminar dan muktamar, menyampaikan kuliah-kuliah dan ceramah-ceramah, mengadakan sambutan memperingati tarikh-tarikh penting dalam kalendar Islam, di samping menerbitkan artikel dan rencana dalam akhbar, laman sesawang dan majalah.

Di atas kesedaran mengenai kepentingan jihad ilmu, Yayasan Sofa mengambil peranan utama dalam membantu penubuhan institusi-institusi pendidikan yang berorientasikan al Quran, akademik dan turath dari peringkat rendah hingga peringkat tinggi serta menekankan kepada penguasaan ilmu asas agama, al Quran dan Hadith.

Dalam aspek kebajikan, Yayasan Sofa mengambil inisiatif dalam membantu penuntut ilmu dan menganjurkan program-program kemasyarakatan.

DARI MEJA PENGASAS

Bersyukur ke hadrat Allah atas nikmatNya menjadikan kita dalam golongan hamba-hambaNya yang sentiasa menyerahkan jiwa dan raga kepada agama tercinta, Penciptanya dan pembawaNya iaitu Rasulullah.

Yayasan Sofa telah melayarkan bahteranya dalam lautan ilmu, pendidikan, pentarbiahan dan kebajikan sejak ditubuhkan pada tahun 2004. Dalam tempoh itu, Yayasan Sofa telah mengharungi pelbagai ranjau, onak dan duri bagi mencapai misi dan visinya yang suci murni. Segala puji bagi Allah, kini Yayasan Sofa masih teguh berdiri membawa dan mengibar benderanya ke merata dunia.

Jika 11 tahun dahulu nama Yayasan Sofa hanya terpamer di atas sebuah surau kecil yang terpencil tetapi pada hari ini nama Yayasan Sofa telah berada di persada antarabangsa. Nama Yayasan Sofa telah melangkaui sempadan tanah air sehingga ke Indonesia, Brunei, Mekah, Madinah, Mesir, Sudan dan Maghribi yang terdapat pusat pendidikan tertua di dunia iaitu Qal’ah Ilmu Qarawiyyin.

Dengan prinsip bersandarkan kepada Yang Maha Esa, keberkatan segala tenaga dan pengorbanan yang telah dicurahkan serta doa para kekasihNya, Yayasan Sofa telah dikurniakan kekuatan dan kejayaan dalam membangunkan institusi-institusi pendidikan dan penyelidikannya di Malaysia, Indonesia, Mesir dan Maghribi.

DATO’ HAJI MUHAMMAD FUAD BIN KAMALUDIN
PENGASAS YAYASAN SOFA

YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN
Blok B-7-3,Jalan Dataran Sentral 3
Dataran Sentral
70200 Seremban
Negeri Sembilan

Hotline : +606-7656694  |  KL : +603-42652314
Faks    :  +6067656693
Email   :  ysnspentadbiran@gmail.com     

Shares